Rejab 2011,
sekitar 10.00 malam.
Usai menutup pintu kereta, kelihatan di koridor berlampu suram itu seorang wanita yang tidak asing di kejiranan ini. Fatimah namanya, Makcik Fatimah. Seorang wanita lanjut usia yang rasanya hidup bersendirian dan bergantung hidup dengan menjual roti. Bertemankan sebuah troli besi cabuk dan sebuah hon basikal, suara serak-serak basahnya memecah keheningan malam.
Kelihatan jua anak-anak kecil mengelilingi Makcik Fatimah, membeli roti. Ya, jenama biasa, jenama jalanan, bukan jenama pasaraya handalan. Ada yang bertulisan jawi persis bungkusan roti semasa ku dibangku sekolah. Perisa pandan, krim, coklat, kacang merah dan butter.
"Assalamualaikum Makcik, lama tak nampak?". "Waalaikumsalam, ada, ada saya selalu ada juga" balasnya menggunakan bahasa melayu bersadur ala-mamak. "Saya selalu ada mari, anak juga tiada, mana pigi?". "Oh, saya ada je, akhir-akhir ni balik lewat Makcik, sikit je roti harini?" balas si pemuda lagi.
"Bulan ni ramai orang puasa nak", jawabnya. Si pemuda kurang pasti adakah roti banyak habis kerana ramai yang membeli untuk juadah bersahur atau jualan dikurangkan kerana tak ramai yang membeli untuk santapan petang. Bukanlah menjadi keperluan bagi si pemuda membeli roti ini, namun sejak diperkenalkan teman serumah, menjadi 'hobi' mereka untuk membeli sahaja apa jua roti sekiranya bertemu Makcik Fatimah ini. Dia murah senyuman, ramah perbualan. Semoga pembelian roti barang sebungkus dua, membantu keuntungan jualannya.
Namun begitu, setiap kali wang dihulur dan bungkusan diterima, dengan pantas Makcik Fatimah akan menambah bungkusan roti tambahan sebagai 'hadiah'. Jika si pemuda berseorangan membeli, maka sebungkus ekstra lah, jika berdua, maka dua bungkus, dan jika bertiga, tiga bungkus ekstra lah jawabnya. Pelbagai cara telah dibuat namun memang tiada beralasan daya untuk menolak. Dan setelah dihitung di congak, nilai 'hadiah' daripada Makcik Fatimah sebenarnya mengatasi keuntungan daripada apa yang pernah dibeli oleh si pemuda. Berfikir sejenak, siapakah yang memberi dan siapakah yang diberi?
"Makcik nanti bulan puasa, meniaga ke?". "Tak, nak, Makcik cuti sebulan",balasnya sambil tersenyum.
Terima kasih Makcik, kau tiada banyak berpunya,
Namun bahagia kau miliki,
Aku meluncur berkereta, kau menyorong troli empat roda.
Kau kaya berbudi.
MrF: catatan tersangat peribadi, sekadar suatu perkongsian...