Monday, February 13, 2012

Misteri Masa


Dikejar ia lari,
Ditahan tak pernah berhenti.

Yang semalam terasa hari ini,
Yang setahun behembus pergi.

Penantian seakan lama,
Padahal sehari tetap sama.

Yang enak cepatnya tak terkira,
Yang perit lamanya berjela.

Masa, kau sungguh misteri,
Tepatlah Yang Agung bersumpah dengan mu.

Saban tahun, saban bulan, saban hari,
Seluruh manusia mengira detik waktu mu.

Tanpa disedari,
Kau tetap jua begitu.

Terus berlari,
Berdetik tanpa jemu.

Meninggalkan semalam jadi kenangan,
Membuat hari ini jadi kenyataan,
Memberi esok seribu harapan.

Mr.F: Demi masa...


Sunday, January 8, 2012

Menjadi Pencipta


Ada yang tersenyum ceria,
Sinis mengata,
Kutuk mencerca.

Ada yang masam mencuka,
Keadilan ingin dibela,
Ini semua fitnah belaka.

Agenda pilihanraya,
Esok suatu lagenda,
9o1 diberi nama.

Insan,
Berhenti menjadi pencipta,
Pihak 'mata', pihak 'ayahanda' dan pihak berkuasa,
Juga pihak 'bebas' yang tidak tahu apa,
Berhentilah berkata,
Berhentilah mengata,
Berhentilah menabur dusta.

Jangan kau pakai pakaianNya,
Jangan menghukum dengan sifat tuhan,
Sedang kau insan penuh kelemahan.

Mr.F : Be a servant!

Wednesday, November 30, 2011

Perjuangan Merah Putih


Kau cetus api perpecahan,
Kau bina sempadan perpisahan,
Kau kukuhkan tembok perbalahan,
Itu yang kau panggil perjuangan...

Laungan retorik kau jeritkan,
Gegak gempita ditambah sorakan,
Terselit caci maki dan kejian,
Itu yang kau panggil perjuangan...

Seluruh pelusuk negara kau himpunkan,
Agenda bangsa kau taruhkan,
Tidak kau nyatakan kebenaran,
Kita jauh ketinggalan,
Masa depan awang-awangan,
Itu yang kau panggil perjuangan...

Wahai merah putih,
Berkatalah benar...
Mungkin aku kan bersama mu,

Wahai merah putih,
Keluar dari yang samar,
Seluruh bangsa kan menghormati mu.

Mr. F : tired of perjuangan dan ketuanan bangsa, ini juga untuk hijau putih, biru muda putih dan roket!

Hybrid Mind


1. Hati-minda-getaran emosi-aura-magnet
2. You are what you eat + you are what you read
3. Terima kasih itu lafaz terindah.

Mr.F : Pilihlah

Wednesday, November 23, 2011

A to Z


Kita bermula di A,
Merangkak, berdiri, berlari,
Memanjat, memecut sendiri,
Ada yang sampai di C,
Ada yang sudah di P.

P merasa hebat,
C merasa lewat,
T tidak tergugat.

Berlumba menindas,
Menghalang ditebas.

Acapkali kita terlupa,
Akhirnya kemana?
Selepas Y ada apa?

Cepat lambat semua kesana,
Yang kekal tidak fana.

Mr.F : Children, let us learn ABC, back to basic.

Monday, November 21, 2011

Sebuah Fenomena


Bila ia sebuah fenomena,
Perginya tidak kemana.

Bila ia hanya kerna nama,
Tahannya tidak lama.

Impaknya besar,
Visinya kan nanti tersasar.

Menang dijulang,
Melaung didendang.

Kalah yang malang,
Cerca bukan kepalang.

Bila ia sebuah fenomena,
Sejarah telah bercerita.

Habis masa ia menjadi biasa,
Ia sebuah fenomena,
Ia bukan budaya.


Wednesday, November 16, 2011

Melompat Lebih Tinggi


"Bila ingin melompat lebih tinggi, kita kan kena turun ke bawah dulu, bila anak-anak boleh berlari, mereka kan pernah jatuh dulu"


Mr.F : equipped with new gadget, buckled up and ready for action.