Sunday, June 26, 2011

Yang Memberi & Yang Diberi

Rejab 2011,
sekitar 10.00 malam.

Usai menutup pintu kereta, kelihatan di koridor berlampu suram itu seorang wanita yang tidak asing di kejiranan ini. Fatimah namanya, Makcik Fatimah. Seorang wanita lanjut usia yang rasanya hidup bersendirian dan bergantung hidup dengan menjual roti. Bertemankan sebuah troli besi cabuk dan sebuah hon basikal, suara serak-serak basahnya memecah keheningan malam.

Kelihatan jua anak-anak kecil mengelilingi Makcik Fatimah, membeli roti. Ya, jenama biasa, jenama jalanan, bukan jenama pasaraya handalan. Ada yang bertulisan jawi persis bungkusan roti semasa ku dibangku sekolah. Perisa pandan, krim, coklat, kacang merah dan butter.

"Assalamualaikum Makcik, lama tak nampak?". "Waalaikumsalam, ada, ada saya selalu ada juga" balasnya menggunakan bahasa melayu bersadur ala-mamak. "Saya selalu ada mari, anak juga tiada, mana pigi?". "Oh, saya ada je, akhir-akhir ni balik lewat Makcik, sikit je roti harini?" balas si pemuda lagi.

"Bulan ni ramai orang puasa nak", jawabnya. Si pemuda kurang pasti adakah roti banyak habis kerana ramai yang membeli untuk juadah bersahur atau jualan dikurangkan kerana tak ramai yang membeli untuk santapan petang. Bukanlah menjadi keperluan bagi si pemuda membeli roti ini, namun sejak diperkenalkan teman serumah, menjadi 'hobi' mereka untuk membeli sahaja apa jua roti sekiranya bertemu Makcik Fatimah ini. Dia murah senyuman, ramah perbualan. Semoga pembelian roti barang sebungkus dua, membantu keuntungan jualannya.

Namun begitu, setiap kali wang dihulur dan bungkusan diterima, dengan pantas Makcik Fatimah akan menambah bungkusan roti tambahan sebagai 'hadiah'. Jika si pemuda berseorangan membeli, maka sebungkus ekstra lah, jika berdua, maka dua bungkus, dan jika bertiga, tiga bungkus ekstra lah jawabnya. Pelbagai cara telah dibuat namun memang tiada beralasan daya untuk menolak. Dan setelah dihitung di congak, nilai 'hadiah' daripada Makcik Fatimah sebenarnya mengatasi keuntungan daripada apa yang pernah dibeli oleh si pemuda. Berfikir sejenak, siapakah yang memberi dan siapakah yang diberi?

"Makcik nanti bulan puasa, meniaga ke?". "Tak, nak, Makcik cuti sebulan",balasnya sambil tersenyum.

Terima kasih Makcik, kau tiada banyak berpunya,
Namun bahagia kau miliki,
Aku meluncur berkereta, kau menyorong troli empat roda.
Kau kaya berbudi.




MrF: catatan tersangat peribadi, sekadar suatu perkongsian...



Monday, June 20, 2011

Sepuluh Hari Lagi

Sepuluh hari lagi,
Lepaslah segala pangkat dan takhta ini.

Apakah benar langkah si kaki,
Apakah tetap kata hati,
Apakah lurus jalan yang ingin diterokai..

Sepuluh hari lagi,
Umpama camar yang terbang bebas,
Aku ingin terbang tinggi,
Bukan lelayang yang putus menjunam tewas..

Watikah diserah, sepuluh hari lagi,
Bermula langkah, aku akan pergi.


Mr.F : 'Jadikan aku tinggi pada pandangan Mu, namun aku memandang rendah diriku'.

Wednesday, June 15, 2011

Oh Bulan

Oh bulan,
Kau bersinar cahaya,
Buat sekian lama kau dipuja,
Seakan sinar itu kau miliki,
Sedangkan ia empunya sang mentari.

Oh rembulan,
Kau memantul cahaya,
Hadirmu mengusir gelita,
Rembang sinar mu menawan jiwa.

Oh bulan,
Punggok lama merindukan mu,
Tiada berganjak juga kau disitu,

Oh rembulan,
Kau aneh sekali malam ini,
Sinar mu berseri, penuh misteri,
Ku pasti dibelakang bumi, menyorok sang mentari,

Oh bulan,
Kau gerhana malam ini,
Kau indah sekali!

Mr.F : 'Maka apabila mata terbelalak ketakutan. Dan apabila bulan telah hilang cahayanya. Dan matahari dan bulan dikumpulkan' -Al-Qiamah 7-9.

Monday, June 13, 2011

Tarian Sang Pena


Lama sang pena ku ini tidak menari,
Geraknya sudah canggung,
Gemalainya agak kejung....

Mr.F: Gambar beca di sebatang jalan di Sorabaya pada tanggal 2010.

Saturday, June 11, 2011

28 Tahun Yang Berlalu



28 tahun telah berlalu,
Limpahan kasih dan rezeki Mu tak putus bertalu-talu,
Senyuman menguntum manis di bibir dan di kalbu,
Kau kurniakan ujian sebagai seruan rindu,
Ku pohon keampunan pada setiap salah dan khilafku.

28 tahun yang berlalu,
Syukurku hanya pada Mu tuhan,
Terima kasih ayah ibu dan handai taulan,
Pada yang silap ku pohon kemaafan.

Mr.F : Senyum tak perlu kata apa-apa. Agak-agak x-28=y , y berkadaran langsung dengan stress, kesihatan, kecerdasan, pemakanan....gullp. :)

Thursday, June 9, 2011

Kau Si Hegemoni






Tema keamanan kau retorikkan,
Agen oren pernah kau taburkan,

Kau si hegemoni,
Kau si polis dunia ini.

Mr.F : Mr. President, in the name of humanity, I appeal to you, to make a decisive and positive action to ensure a durable world peace. Please accept, Mr. President, the assurances of my highest consideration



Tuesday, June 7, 2011

Teruslah Memberi

Teruslah memberi,
Ada tangan terkulai layu menanti,

Teruslah memberi,
Ada yang merempat dijalanan,
Berselimut kedinginan,
Ada yang menggeletar kehausan,
Merengek kelaparan.

Teruslah memberi,
Yang mudah haruman,
Yang murah senyuman,
Yang ringan bersalaman,
Yang hebat ilmu berpanjangan,

Teruslah memberi,
Usah berkira,
Kerana kita sendiri,
Asyik menerima.

Mr.F : 'fabi ayyi ala i rabbikuma tukazziban'

Wednesday, June 1, 2011

Hujan Turun Lagi

Hujan turun lagi malam ini,
Genangan yang tak tertahan buat sekian kali.

Wajah nenda terbayang di mata,
Wajah yang telah pergi buat selamanya.

Mr.F: perasaan bercampur baur, Al-Fatihah.