Wednesday, July 27, 2011

Selamat Datang Bulan Kemuliaan



Selamat datang duhai pujaan,
Bulan seribu bulan,
Keikhlasan menjadi ujian,
Kesabaran menjadi peraturan,
Jiwa kehambaan bersujud kesyahduan.

Selamat datang wahai yang dirindukan,
Bulan penuh kemuliaan,
Ganjaran kemenangan dilipatgandakan,
Selamat datang ya Ramadhan.

Ramadhan Kareem.
Allahu Akram.

Mr.F : Masjid Kg. Baru Kuala Lumpur

Saturday, July 23, 2011

Sabar & Syukur

Dalam hidup ada susah, dalam kata ada madah,
Hamka pernah berkata, sabar dan syukur membentuk sayap,
Analoginya indah, melaluinya payah,
Bagai bumi tak berlantai, bagai bumbung tak beratap.


Mr.F : diam mode



Tuesday, July 19, 2011

Perwira Tidak Didendang


Tiada pernah kita bertemu,
Hanya niat ku sahaja begitu,
Tiada disangka kau pergi dahulu.

Aku ingin sekali meluang masa,
Duduk bertemu dan berbicara,
Mengambil pedoman meluah rasa.

Dikejauhan kau gigih berjuang,
Jasa mu tak terbilang,
Kau perwira tidak didendang.

Dunia bukan lagi tempatmu,
Di sisi Nya terbaik untuk mu,
Salam kebahagiaan tulus dariku.

Mr.F : Al-Fatihah Dr. Lo'Lo'

Wednesday, July 13, 2011

Merah, Kuning, Biru, Putih

Merah,
Membara semangat waja,
Bukan padamu mereka murka,
Bukan mencari alasan sengketa,
Mereka juga sumpah taat setia,
Damai negara tunggak utama,
Tetap jua mereka itu saudara.

Kuning,
Berdaulat payung negara,
Redah jalanan sudah dicuba,
Semoga tiada perlu kali yang ketiga,
Niat harus kekal mulia,
Gerak juang mesti ada timbang tara.

Merah dan Kuning,
Tiada salah kita berbeda,
Khilaf kita selaku manusia,
Namun hina menghina,
Itu canggung,
Lawan berlaga,
Itu tak untung,
Tempur sesukanya,
Kita bakal melopong.

Biru,
Teruslah ikhlas berbakti,

Putih,
Teruslah mencari.

Merah, Kuning, Biru dan Putih,
Kau perlu membentuk jalur gemilang buat kelahiran generasi yang bersih.


Mr.F : Aku sudah mula berwarna.

Sunday, June 26, 2011

Yang Memberi & Yang Diberi

Rejab 2011,
sekitar 10.00 malam.

Usai menutup pintu kereta, kelihatan di koridor berlampu suram itu seorang wanita yang tidak asing di kejiranan ini. Fatimah namanya, Makcik Fatimah. Seorang wanita lanjut usia yang rasanya hidup bersendirian dan bergantung hidup dengan menjual roti. Bertemankan sebuah troli besi cabuk dan sebuah hon basikal, suara serak-serak basahnya memecah keheningan malam.

Kelihatan jua anak-anak kecil mengelilingi Makcik Fatimah, membeli roti. Ya, jenama biasa, jenama jalanan, bukan jenama pasaraya handalan. Ada yang bertulisan jawi persis bungkusan roti semasa ku dibangku sekolah. Perisa pandan, krim, coklat, kacang merah dan butter.

"Assalamualaikum Makcik, lama tak nampak?". "Waalaikumsalam, ada, ada saya selalu ada juga" balasnya menggunakan bahasa melayu bersadur ala-mamak. "Saya selalu ada mari, anak juga tiada, mana pigi?". "Oh, saya ada je, akhir-akhir ni balik lewat Makcik, sikit je roti harini?" balas si pemuda lagi.

"Bulan ni ramai orang puasa nak", jawabnya. Si pemuda kurang pasti adakah roti banyak habis kerana ramai yang membeli untuk juadah bersahur atau jualan dikurangkan kerana tak ramai yang membeli untuk santapan petang. Bukanlah menjadi keperluan bagi si pemuda membeli roti ini, namun sejak diperkenalkan teman serumah, menjadi 'hobi' mereka untuk membeli sahaja apa jua roti sekiranya bertemu Makcik Fatimah ini. Dia murah senyuman, ramah perbualan. Semoga pembelian roti barang sebungkus dua, membantu keuntungan jualannya.

Namun begitu, setiap kali wang dihulur dan bungkusan diterima, dengan pantas Makcik Fatimah akan menambah bungkusan roti tambahan sebagai 'hadiah'. Jika si pemuda berseorangan membeli, maka sebungkus ekstra lah, jika berdua, maka dua bungkus, dan jika bertiga, tiga bungkus ekstra lah jawabnya. Pelbagai cara telah dibuat namun memang tiada beralasan daya untuk menolak. Dan setelah dihitung di congak, nilai 'hadiah' daripada Makcik Fatimah sebenarnya mengatasi keuntungan daripada apa yang pernah dibeli oleh si pemuda. Berfikir sejenak, siapakah yang memberi dan siapakah yang diberi?

"Makcik nanti bulan puasa, meniaga ke?". "Tak, nak, Makcik cuti sebulan",balasnya sambil tersenyum.

Terima kasih Makcik, kau tiada banyak berpunya,
Namun bahagia kau miliki,
Aku meluncur berkereta, kau menyorong troli empat roda.
Kau kaya berbudi.




MrF: catatan tersangat peribadi, sekadar suatu perkongsian...



Monday, June 20, 2011

Sepuluh Hari Lagi

Sepuluh hari lagi,
Lepaslah segala pangkat dan takhta ini.

Apakah benar langkah si kaki,
Apakah tetap kata hati,
Apakah lurus jalan yang ingin diterokai..

Sepuluh hari lagi,
Umpama camar yang terbang bebas,
Aku ingin terbang tinggi,
Bukan lelayang yang putus menjunam tewas..

Watikah diserah, sepuluh hari lagi,
Bermula langkah, aku akan pergi.


Mr.F : 'Jadikan aku tinggi pada pandangan Mu, namun aku memandang rendah diriku'.

Wednesday, June 15, 2011

Oh Bulan

Oh bulan,
Kau bersinar cahaya,
Buat sekian lama kau dipuja,
Seakan sinar itu kau miliki,
Sedangkan ia empunya sang mentari.

Oh rembulan,
Kau memantul cahaya,
Hadirmu mengusir gelita,
Rembang sinar mu menawan jiwa.

Oh bulan,
Punggok lama merindukan mu,
Tiada berganjak juga kau disitu,

Oh rembulan,
Kau aneh sekali malam ini,
Sinar mu berseri, penuh misteri,
Ku pasti dibelakang bumi, menyorok sang mentari,

Oh bulan,
Kau gerhana malam ini,
Kau indah sekali!

Mr.F : 'Maka apabila mata terbelalak ketakutan. Dan apabila bulan telah hilang cahayanya. Dan matahari dan bulan dikumpulkan' -Al-Qiamah 7-9.