Tuesday, October 18, 2011

Betul & Salah


Mencari siapa betul dan siapa salah,
Tanyalah diri, kita betul atau kita salah,
Andai kita betul, pandu yang salah,
Andai kita salah, mengaku akur bukan bermakna kalah.

Acapkali kita assabiyah,
Pelbagai ragam kita mencari helah,
Yang tak sebulu disumpah seranah,
Yang sehaluan sebumbung serumah.

Kita selalu lupa,
Disana bukan hanya ada kita,
Disana semua ditimbang dikira,
Disana belum pasti kita senyum atau merana.

Kita selalu alpa,
Kita selalu leka,
Tak mengapa kerana kita manusia,
Namun tak padan kita bersengketa.

Mr.F: 'Sheila Azmi' :)

Monday, October 17, 2011

Pokok

Saat kau dibaling batu,
Kau menjatuhkan buah,
Saat musim mentari menyinar,
Kau berbunga indah,
Tetap jua kau disitu.

Saat hujan membasahi bumi,
Insan berteduh kau payungi,
Tidak berganjak kau dari situ.

Jadilah seperti pokok,
Menahan sakit diparang diketuk,
Dari akar, dahan ranting dan pucuk,
Semua bermanfaat buat sekalian makhluk.

Jadilah seperti pokok,
Dibaling tidak meradang,
Dicantas tidak menendang,
Dipotong ia tumbang.

Matinya tidak sia-sia,
Berkhidmat sepanjang usia.

Mr.F : berapa berguna kau pokok, diguna orang walaupun ketika kau menjadi habuk.


Sunday, October 16, 2011

1:52 Pagi

Bertemankan lampu studio yang telah sepuluh tahun bersama ku, oh lampu studio, kau memang setia, dari bilik pertama di kolej, ke studio E06 di fkm, ke beberapa buah rumah hingga kini. Kau teman sejati.

Saat bilikku gelap kau terangkan,
Saat 'presentation' panel dan model ku kau gemilangkan,
Saat tidur, cahaya kau suramkan.

Kau menjadi saksi banyak proses design,
Kau bermandikan spray, habuk foam dan kepanasan tak terperi,
Kau tetap jua disini,
Kau tetap jua disisi,
Kau teman sejati.

Terima kasih lampu studio, terima kasih IKEA !

Mr.F : mode bercakap dengan 'rakan' seperjuangan setia.

Saturday, October 15, 2011

Kita Berbeda



Ada yang pesek, ada yang mancung,
Ada yang tegak, ada yang serong.

Kita berbeda,
Akal, rupa, takhta dan kuasa.

Kita berbeda,
Santun, warisan dan budi bicara.

Apakah perlu kita sama,
Kan nanti dunia hilang warna.

Kita berbeda,
Dalam memilih jalan ini,
Kita berbeda,
Dalam mengorak hidup ini.

Destinasi akhir kita sama,
Sama-sama kita tidak punya,
Sama-sama bergantung pada pinjamannya.

Andai ada yang terguris,
Mohon lupakanlah,
Andai ada yang terhiris,
Mohon maafkanlah,
Sama-sama bergandingan,
Bahu ke bahu bergerak ke hadapan.

Dalam saf diucap perjanjian,
Dalam saf bersumpah kebenaran,
Dalam saf dilafaz ikrar perpaduan.

Apakah salah kita berbeda,
Pada seribu persamaan,
Mungkin satu yang tidak setara,
Dunia dan syurga untuk dikongsi bersama.

Mr.F :“Ada apa aku dan dunia ini! Tiadalah dunia dan aku ini melainkan seperti seorang pengembara yang berlindung dari panas di bawah sepohon pokok, kemudian pergi meninggalkannya”. (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani)

Destinasi Terakhir


Cuaca agak terik apabila matahari berada tegak atas kepala. Seperti biasa jalan Tar ini tidak pernah kosong. Apatah lagi pada hujung minggu begini dan menjelang pesta cahaya Deepavali. Sebuah kereta di depan ku memintas ke kiri dengan pantas. Sangkaan pemandu ialah dia berjaya memotong dua 'lane' jalan ke kiri. Bunyi hon sebuah motor yang bergerak laju 'memekik' dari arah belakang. Seperti dijangka, berlaku perlanggaran dengan momentum yang agak kuat. Tercampakla penunggang motosikal di bahu jalan, motornya pula terus bergerak tanpa penunggang dan melanggar seorang yang sedang berjalan santai di tepi jalan. Tangan pejalan kaki tersebut masuk ke celahan rim tayar hadapan motor. Cermin kereta pelanggar sangat gelap, aku perlu terus maju ke hadapan mengikut arus perlahan kenderaan yang bergerak. Wajah penunggang motor yang tercampak kelihatan mengerang kesakitan. Mujur topi keledar masih melekap kemas dikepala. Pelanggar masih didalam kereta, pejalan kaki kaku terkejut dengan tangan di celahan rim. Aku berlalu pergi.

Mr.F : 'fabiaiyi ala irabbikuma tukazziban'


Monday, October 10, 2011

Sibuk

Aku perlu sibuk,
Buat menolak fikiran yang menyibuk,
Aku perlu sibuk,
Buat melupa memori yang berhabuk.

Air yang tenang,
Tiada ia lebih baik,
Ombak yang garang,
Membuat pantai cantik dan menarik.



Saturday, October 8, 2011

Damai Yang Kau Cari

Dalam damai yang kau cari,
Pasti ada ranjau merintangi,
Dalam tenang langkah jalan ini,
Mesti ada liku berduri.

Hadir indah kilau pelangi,
Kerna gerimis membias mentari,
Cantik megah ukiran melatari,
Kerna si pahat ligat menari.

Insan, kau senyumlah,
Tiada guna kau berduka dan resah,
Manusia, kau syukurilah,
Ada yang lebih perit, getir dan susah.

Tidak semua bisa kau miliki,
Tidak tertampung untuk kau bawa pergi,
Tidak semua boleh kau nikmati,
Tidak tertanggung kau disana nanti.

Cukuplah insan apa yang ada,
Teruskan jalan dan senyumlah,
Lebih dari cukup apa yang diberiNya,
Kongsi dan bersyukurlah.

Mr.F : 'never eat alone'.